Presma mahu situasi ‘menang-menang’

“MEMANG kami alu-alukan untuk membuat saringan Covid-19 dan sentiasa menyokong untuk melakukannya. “Tetapi kami tidak dapat menampung kos saringan yang tinggi terutama sekarang pendapatan kami benar-benar terkesan dengan pandemik ini,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali kepada Harian Metro.
Beliau berkata, kos saringan paling murah mencecah RM500 ke RM600 untuk seorang pekerja dan dianggarkan setiap restoran mempunyai sekurang-kurangnya 15 pekerja.
Katanya, Presma memang tiada halangan melakukan ujian saringan namun dalam keadaan sekarang agak sukar pihaknya untuk mengeluarkan kos bagi tujuan itu. “Sekarang memang sudah kritikal dan semua pun terjejas akibat Covid-19, malah sebelum ini (ketika fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan) ujian untuk pekerja asing adalah percuma. “Bagaimanapun, kami akan cuba untuk duduk berbincang dengan persatuan restoran lain, persatuan peruncit dan persatuan pengilang bagi mengetengahkan perkara ini. Kami juga akan majukan surat kepada jemaah menteri berkemungkinan dalam minggu ini juga. “Kami harap kerajaan dapat menjadi pemudahcara dan mempertimbangkan mengenainya supaya wujud situasi menang-menang,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan semalam yang mewajibkan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing di semua sektor dan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan. Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/574967/presma-mahu-situasi-menang-menang

Trackback from your site.